DEMNATE: Sejumlah 24 penumpang maut di Maghribi selepas sebuah bas mini yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di kawasan pergunungan, kata pihak berkuasa.

Menurut media tempatan, bas berkenaan sedang membawa penumpang ke sebuah pasar sebelum ia hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung pada Ahad.

Punca kejadian yang berlaku berdekatan dengan bandar Demnate di Pergunungan Atlas, masih belum dapat dikenal pasti.

"Kesemua penumpang maut dalam kejadian itu," kata Pengarah Hospital Demnate, Youssef Makhloufi.

Tambahnya, dua wanita dan seorang kanak-kanak antara yang maut.

Menurut Forum Pengangkutan Antarabangsa, sejumlah lapan individu maut akibat nahas jalan raya di Maghribi setiap hari pada tahun 2020.

Awal tahun ini, 11 individu maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebatang pokok di kawasan pedalaman Maghribi.

Tahun lepas 23 individu maut selepas bas yang dinaiki mereka terbalik di Casablanca. - Agensi